IPOH: Polis yang sedang menyiasat kemalangan kereta berhampiran persimpangan lampu isyarat pekan Tambun di Ipoh awal pagi tadi menemui satu mayat yang sudah reput.
Mayat dipercayai wanita itu, ditemui kira-kira 3 meter dari lokasi kereta Proton Saga Aeroback yang terbabas ke dalam longkang.
Difahamkan, sebelum itu, kereta yang dipandu oleh seorang anggota tentera dari arah Hulu Kinta terbabas ke dalam longkang berkenaan kira-kira jam 5 pagi.
Bagaimanapun, mangsa hanya mengalami kecederaan ringan.
Anggota tentera berkenaan dikatakan cuba mengelak sesuatu yang melintas di hadapan keretanya sebelum terbabas ke dalam longkang di sebelah kiri jalan.
Anggota polis trafik yang kemudiannya tiba di lokasi kira-kira 5.30 pagi untuk menjalankan siasatan dikatakan terhidu bau busuk sebelum menemukan mayat reput berhampiran.
Mayat kemudiannya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk proses bedah siasat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.