Oleh Fazli Ahmad
TEMERLOH : Empat maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di kilometer 135.7 Lebuhraya Pantai Timur( LPT1 ) berhampir susur keluar Plaza Tol Chenor dekat sini awal pagi tadi.
Kemalangan dipercayai berlaku selepas sebuah lori kontena dalam perjalanan dari arah Temerloh ke Kuantan terbabas dan merempuh trak penunda sedang mengangkat Proton Exora yang rosak di tepi lebuh raya dan sebuah Proton Waja berhenti berhampiran di lokasi kejadian.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria, berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian pada jam 3.26 pagi dan 9 anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian.
Katanya, akibat rempuhan lori kontena terbabit Proton Exora terbabit terjunam ke dalam gaung lebih 10 meter dan beberapa mangsa tersepit dalam kenderaan terbabit.
Tiga penumpang Proton Exora dan pemandu trak penunda maut.
Namun identiti semua mangsa belum diperolehi.
Kemalangan itu turut menyebabkan tujuh mangsa tercedera cedera dan tujuh lagi terselamat.
Mayat semua mangsa dihantar ke Hospital Sultan Ahmad Shah, Temerloh untuk tindakan lanjut dan punca kemalangan sedang disiasat.