comscore
Tumpuan :
Tragedi

Dua warga emas maut, ATV terhumban ke parit

Anggota bomba mengeluarkan dua warga emas yang dipercayai lemas dalam parit berhampiran Jalan Kampung Seri Gambut di Pontian, petang tadi. – FOTO: Ihsan Bomba

PONTIAN: Dua warga emas berusia dalam lingkungan 60-an maut selepas dipercayai lemas dalam parit berhampiran Jalan Kampung Seri Gambut di sini, malam ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, kedua-dua mangsa dikatakan beriadah menaiki kenderaan all-terrain vehicle (ATV) di kawasan terbabit sebelum dipercayai terbabas ke dalam parit.

Komander Operasi Hairon Nizam Zainal, berkata enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pekan Nenas bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 7.06 malam.

“Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di tempat kejadian, didapati berlaku kemalangan membabitkan sebuah ATV yang terbabas ke dalam parit berhampiran.

“Dua mangsa iaitu penunggang dan pembonceng kenderaan terbabit dikesan dalam keadaan tidak sedarkan diri, dipercayai lemas.

“PKO mengeluarkan mangsa dan memberi rawatan awal namun tiada tindak balas,” katanya dalam kenyataan media di sini, malam ini.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) yang berada di lokasi.

Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohamad Shofee Tayib ketika dihubungi mengesahkan kejadian, namun memaklumkan siasatan masih dijalankan.

Loading...
Terkini