PORT DICKSON: Seorang buruh binaan maut selepas ditimpa runtuhan bangunan di tempat kerjanya di Ladang Jemima, Sungai Sendayan di Bandar Springhill, di sini, petang tadi.
Ketua Operasi Balai Bomba Port Dickson, PBKII Mohamad Rosman Md Nor, berkata mangsa, Muzakkir Bakri, 53, yang juga penduduk pemastautin tetap disahkan meninggal dunia di tempat kejadian berikutan kecederaan parah pada kepala dan badan.
Katanya, terdahulu, sepasukan bomba dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada jam 3.54 petang.
“Setiba di lokasi, kami berjaya mengeluarkan mangsa dari runtuhan bangunan yang menimpa mangsa dan menyerahkan mayat mangsa kepada pihak berwajib untuk urusan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, mangsa yang juga pekerja kontrak disahkan sudah meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).