Oleh Safwan Sawi
LAHAD DATU: Tindakan pantas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya menyelamatkan empat individu termasuk seorang kanak-kanak selepas bot dinaiki mereka karam di perairan Kampung Puyut, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, semua mangsa berusia 10 hingga 40 tahun diselamatkan oleh bot ronda APMM Lahad Datu yang berada berhampiran kawasan kejadian.
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Nik Mohd Rizam Nik Mohd Fauzi berkata, bot pam warna biru membawa empat penumpang iaitu tiga penumpang wanita bersama seorang kanak-kanak.
Menurutnya kesemua mangsa dipercayai tidak memakai jaket keselamatan.
“Kejadian terbabit berjaya dikesan oleh bot peronda APMM yang berada berhampiran kawasan kejadian.
“Kerja-kerja menyelamat mangsa terus dilaksanakan dan semua mangsa berjaya diselamatkan tanpa sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Justeru ujarnya, APMM menyeru semua rakyat Malaysia untuk mengutamakan pemakaian jaket keselamatan ketika berada di laut.
“Jaket keselamatan ini perlu disediakan di tempat-tempat yang berpotensi terjadinya bencana atau insiden yang membabitkan aktiviti air.
“Pastikan bot yang dinaiki mempunyai jaket keselamatan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata Zon Maritim Lahad Datu turut memohon kepada orang ramai khususnya komuniti maritim untuk memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat ataupun aduan berkaitan aktiviti yang mencurigakan di laut kepada Zon Maritim Lahad Datu yang beroperasi 24 jam di talian 089-885727 atau di talian MERS 999.