comscore
Tumpuan :
Tragedi

“Berat Hati Nak Pergi Berkelah” – Mangsa

FOTO: NSTP

PERMAISURI: “Saya berat hati dan berdebar sebelum ke kawasan perkelahan, tetapi saya pergi juga selepas anak sulung menangis mahu mengikut ahli keluarga lain berkelah,” kata Roslan Zakaria, 38.

Roslan adalah salah seorang mangsa yang terselamat dalam kejadian kepala air di Ulu Kasar, Lata Payung, Setiu, semalam.

Roslan yang berasal dari Kampung Laut, Chendering, di sini, berkata, dia bersama 14 ahli keluarga tiba ke kawasan perkelahan itu pada 4.30 petang.

Menurutnya, selepas bersarapan, mereka turun ke sungai untuk mandi sebelum terdengar laungan menyuruh mereka naik ke tebing sungai kerana arus air laju dan semakin tinggi.

Katanya, dia segera meminta isteri Norsapawati Mohd Zain, 34, membawa seorang daripada dua anak naik ke tebing sungai dan masuk dalam kereta yang diletakkan berhampiran sungai.

“Saya turun ke dalam air yang ketika itu naik ke paras pinggang untuk mengambil seorang lagi anak yang sedang leka mandi.

“Ketika menyelamatkan anak saya itu, saya terkejut apabila melihat isteri dan anak tiada dalam kereta yang ketika itu sedang bergerak dihanyutkan arus.

“Bagaimanapun, beberapa penduduk kampung memaklumkan isteri yang sedang mengandung dua bulan dan anak sudah selamat naik ke tebing sungai,” katanya ketika ditemui.

Roslan berkata, ketika kejadian, dia cuba mengalihkan kereta tapi gagal kerana terhalang beberapa kenderaan lain.

“Saya sendiri melihat dua kereta termasuk milik saya dihanyutkan arus deras,” katanya yang bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini