SETIU: Bekas imam Masjid Kampung Tok Ku, dikhuatiri lemas di tali air ketika menjala ikan di kawasan kolam udang di Kampung Fikri, di sini, petang semalam.
Mangsa, Zakaria Mat Nong, 72, yang berasal dari Kampung Beris Tok Ku dipercayai sedang menjala ikan seorang diri dan tergelincir ke tali air, kira-kira 7 malam.
Ketua Polis Daerah Setiu Deputi Superintendan Afandi Husin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.30 malam sebelum sepasukan anggota dikerahkan ke tempat kejadian.
Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan membabitkan seramai 38 anggota pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung.
“Seorang penduduk kampung ada melihat mangsa sedang menjala di tepi kolam udang, jam 6.30 petang.
Bagaimanapun, mangsa dikatakan tidak timbul selepas selepas terjatuh di kolam itu dan usaha mencari mangsa giat dijalankan.
Afandi berkata, proses pencarian terpaksa dihentikan sementara apabila air berpusar dan keadaan arus kuat menghalang skuad skuba melakukan selaman.
Menurutnya, usaha mencari dan menyelamat mangsa akan di teruskan dengan menunggu paras air surut bagi membolehkan skuad skuba melakukan selaman.
“Walaupun skuad skuba tidak dapat turun melakukan selaman, namun kita sentiasa melakukan pemantauan di kawasan sekitar kolam,” katanya.