JITRA : Pasukan bomba terpaksa dipanggil membantu mengeluarkan bayi lelaki berusia 10 bulan yang terperangkap dalam sebuah kereta di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) menerima panggilan mengenai kes itu jam 7.40 pagi.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mohd Sezali Hassan tiba di lokasi tidak lama kemudian.
“Setiba di lokasi, didapati bayi lelaki berusia 10 bulan itu masih terperangkap dalam sebuah kereta yang terkunci. Komander operasi mengarahkan anggota untuk berusaha membuka pintu kereta dengan menggunakan peralatan khas yang dibekalkan.
“Pintu kereta itu berjaya dibuka dan bayi 10 bulan berkenaan berjaya diselamatkan sebelum diserahkan kepada keluarganya,” katanya memaklumkan operasi berkenaan tamat pada jam 8.34 pagi.