MANJUNG: Mangsa kedua nahas motosikal terbakar di Batu 17 Pantai Remis kelmarin, meninggal dunia ketika dalam rawatan di Hospital Seri Manjung, dekat sini, semalam, selepas kira-kira 24 jam bertarung nyawa.
Mangsa, Mohamad Tahir Selamat, 39, yang juga anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), meninggal dunia dalam wad pada jam 3.43 petang.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi, berkata bedah siasat mendapati kematian mangsa akibat kesan melecur teruk yang dialami dalam kemalangan itu.
Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi kelmarin, Mohamad Tahir yang menaiki Modenas Kris berlanggar dengan sebuah lagi motosikal Yamaha Sport ditunggang nelayan, Ramli Abdul Hamid, 60.
Akibat kemalangan berkenaan, kedua-dua motosikal terbakar dan menyebabkan mereka melecur teruk.
Ramli disahkan maut di lokasi, manakala Mohamad Tahir dikejarkan ke Hospital Seri Manjung untuk dirawat. – BERITA HARIAN