comscore
Tumpuan :
Tragedi

Abu Juruterbang Helikopter Dibawa Pulang Ke Hong Kong

FOTO: Harian Metro

IPOH: Isteri juruterbang yang maut dalam insiden helikopter terhempas di Hutan Simpan Chikus, Bidor sudah menuntut mayat suaminya di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) hari ini.

Wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Leung itu memaklumkan perkara ketika ditemui media sejurus selesai menuntut mayat berkenaan.

“Mayat sudah dituntut dan kita akan melakukan upacara pembakaran mayat di Ipoh.

“Namun, sebelum pembakaran mayat kita mengadakan satu upacara keagamaan, pembakaran mayat tidak dibuat hari ini,” katanya ketika ditemui sebentar tadi.

Leung yang bertutur dalam bahasa Kantonis, bagaimanapun enggan memberitahu dan mendedahkan bila dan di mana upacara keagamaan dan pembakaran mayat berkenaan akan dilakukan.

Katanya, sebaik semua selesai abu mayat mendiang Tsz Kin Richard Chan akan di bawa balik ke Hong Kong.

Terdahulu, Leung yang memakai baju putih, kelihatan tiba di perkarangan Jabatan Forensik ditemani seorang lagi wanita pada jam 10.40 pagi.

Kenderaan yang membawa mayat mendiang kemudiannya kelihatan dibawa keluar daripada perkarangan pada kira-kira jam 11.15 pagi.

Manakala kenderaan isteri mangsa pula keluar daripada perkarangan pada jam 10.25 pagi.

Media sebelum ini melaporkan, juruterbang helikopter warganegara Hong Kong berusia 58 tahun itu maut selepas helikopter jenis Eurocopter itu terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) dan terhempas di Bidor pada 11 September lalu. -HARIAN METRO

Loading...
Terkini