KUALA LUMPUR: Sebuah helikopter yang dinaiki enam individu termasuk lima pegawai perubatan melakukan pendaratan cemas di kawasan hutan berhampiran Tanah Rata, Cameron Highlands, bersempadanan negeri Perak dan Pahang, tengah hari tadi.
Dalam kejadian sekitar jam 1 tengah hari itu, semua mangsa dilaporkan selamat namun mengalami kecederaan susulan pendaratan cemas yang terpaksa dilakukan juruterbang akibat cuaca buruk.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri, berkata mangsa telah menghubungi pasukan keselamatan memaklumkan kejadian dan kini pasukan penyelamat sudah diatur gerak ke lokasi untuk menyelamatkan mereka.
Katanya, berdasarkan maklumat awal, kejadian berpunca apabila helikopter dinaiki mereka mengalami masalah akibat cuaca buruk di lokasi sehingga memaksa juruterbangnya mengambil keputusan untuk melakukan pendaratan.
“Bagaimanapun, difahamkan ketika cuba melakukan pendaratan, helikopter tersebut tersangkut pada pokok di hutan tersebut.
“Setakat ini maklumat awal yang kami perolehi adalah semua mangsa selamat, hanya mengalami kecederaan namun tidak serius,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.
Beliau berkata, kejadian berlaku ketika helikopter yang membawa pasukan perubatan terbabit dalam perjalanan pulang ke Ipoh, Perak daripada Lojing, Kelantan.
“Lokasi sebenar keberadaan mereka masih belum dapat dipastikan setakat ini namun pasukan penyelamat sudah memulakan operasi mencari dan menyelamatkan semua mangsa,” katanya.