KUANTAN : 33 pondok tahfiz musnah dalam satu kebakaran di Madrasah Al Imaniyah, Jalan Sungai Ular, Kampung Darat dekat di sini pagi tadi.
Pegawai Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuantan, Ismail Abdul Ghani berkata, kebakaran yang berlaku kira-kira jam 9.39 pagi telah memusnahkan 100 peratus struktur pondok yang didirikan menggunakan kayu dan papan.
Katanya, seramai 16 anggota bersama dengan menggunakan tiga jentera bomba digegaskan ke lokasi kejadian untuk memadamkan api.
“Sejurus tiba, kami dapati api telah memeusnahkan keseluruhan 33 pondok tahfiz berkenaan yang setiap sebuah berkeluasan 10×10 kaki persegi.
“Anggota kami memadamkan kebakaran menggunakan tiga aliran hos yang panjangnya 200 kaki dengan mendapatkan sumber air dari pam jentera.
“Api berjaya dikawal dan operasi tamat pada pukul 10.29 pagi,” kata dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun tiada mangsa yang terjejas dalam kejadian terbabit dan punca kebakaran masih disiasat.