Oleh Baharuddin Mohamed
MELAKA: Dua ejen insurans maut selepas kereta yang mereka naiki dirempuh sebuah lori tangki yang dipercayai melanggar lampu isyarat merah di persimpangan Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin (AMJ) – Serkam awal pagi tadi.
Dalam kejadian jam 5 pagi itu, pemandu, Badrul Shyam Noor Ibrahim, 31, dan penumpang kereta terbabit, Ezham Hazim Ahyat, 33, meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah.
Pemangku Ketua Polis Daerah Jasin, Asisten Superintendan Fadzli Othman berkata, ketika kejadian, kereta dinaiki mangsa dalam perjalanan dari arah Melaka ke Muar.
“Ketika tiba di persimpangan itu dan lampu isyarat berwarna hijau, kereta kedua-dua mangsa meneruskan perjalanan ke arah Muar.
“Bagaimanapun secara tiba-tiba datang sebuah lori tangki yang datang dari arah Serkam ke Jasin merempuh bahagian kanan kereta terbabit yang dipercayai melanggar lampu isyarat merah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Fadzli, rempuhan itu mengakibatkan kereta mangsa terbalik di atas jalan raya.
Kedua-dua pemandu dan penumpang yang duduk di sebelah pemandu cedera parah dan meninggal dunia.
Kedua-dua mangsa yang berasal dari Johor Bahru itu ujarnya, dibawa ke Hospital Melaka untuk proses bedah siasat.
Namun, tambah beliau, pemandu lori tangki terbabit yang berusia 41 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Pemandu lori itu kini ditahan untuk siasatan lanjut kerana menyebabkan kematian.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.