Oleh: Fazli Ahmad
MARAN: Seorang lagi penunggang motosikal maut akibat nahas ketika berkonvoi untuk menghadiri program RXZ Fighter Gathering 2024 di Kuantan, hari ini.
Mangsa, Mohammad Sharfie Sukri, 21, maut selepas motosikalnya bergesel dengan lori dan tercampak ke tengah lebuh raya.
Ketua Polis Daerah Maran DSP Mohamad Zamri Mohamad Zaber, berkata kemalangan berlaku kira-kira jam 8.10 pagi di kilometer 156.9 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Satu, arah ke Kuantan dekat Maran.
Katanya siasatan awal mendapati ketika kejadian mangsa menyertai konvoi membabitkan 10 motosikal dari Petaling Jaya, Selangor untuk menghadiri program “RXZ Fighter Gathering 2024 di Kuantan.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa di lorong kiri lebuh raya bergesel dengan lori juga dari arah sama dan akibat kemalangan itu mangsa tercampak ke atas jalan serta meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.
Tambahnya kes ini disiasat mengikut seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Semalam, seorang peniaga pasar malam di Kuala Kangsar, Perak terbunuh selepas motosikal ditunggangnya terbabas dan merempuh besi penghadang lebuh raya di Kilometer 166.6 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 dekat susur keluar Maran kira-kira jam 10.55 pagi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.