PETALING JAYA: Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengumumkan beliau mahu mempertahankan kerusi Parlimen Tambun mewakili Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Menurut beliau, atas prinsip dan semangat demokrasi turut mengalu-alukan mana-mana individu yang berhasrat untuk bertanding di kerusi Parlimen Tambun.
“Dengan penuh rendah hati, saya ingin mengumumkan bahawa akan terus mempertahankan kerusi Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum ke-15.
“Saya dan rakan-rakan sukarelawan serta pendokong Perikatan Nasional Tambun adalah merupakan anak jati Parlimen Tambun. Maka, kami beranggapan adalah menjadi satu tanggungjawab dan kewajipan untuk terus kekal berkhidmat di halaman kami sendiri.
“Mudah-mudahan, kempen pada pilihanraya kali ini berjalan dengan telus dan adil sekaligus, memberi manfaat buat para pengundi di Tambun serta seluruh rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan, menang kerusi Parlimen Tambun pada PRU-14 dengan majoriti 5,320 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan calon PAS, Ibrahim Zakaria.