KUALA LUMPUR : Penyanyi era 1980-an, Rohana Jalil yang sebelum ini ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, sejak Selasa lalu, sudah dipindahkan ke unit dependensi tinggi (HDU).
Anak bongsunya, Kilafairy berkata, ibunya masih kritikal, namun, keadaannya lebih baik berbanding sebelum ini.
“Mama masih kritikal tetapi sudah dipindahkan ke wad HDU dan di bawah pemantauan rapi doktor.
“Bagaimanapun, keadaan mama lebih baik sedikit berbanding sebelum ini.
“Mama sudah mampu bernafas sendiri tanpa perlu menggunakan tiup oksigen.
“Iya, mama tidak lagi bergantung kepada tiup pernafasan serta sudah boleh bercakap, cuma, keadaannya lemah,” katanya.
Rabu lalu, penyanyi itu selamat menjalani pembedahan untuk merawat kebocoran pada usus perut dan keadaannya dilaporkan positif selepas prosiding itu.