comscore
Tumpuan :
Dunia Seni

I Can See Your Voice Malaysia musim ke-7 tampil konsep duo 

Oleh: Ain Shafiqah Zaki 
 
PETALING JAYA: “Misi yang sama, penyamar yang berbeza”

Program hiburan bercorak muzik misteri nombor satu di Malaysia, I Can See Your Voice Malaysia diadaptasi daripada program Korea Selatan, kembali ke kaca televisyen anda untuk musim ketujuh dengan barisan panel penyiasat baharu.

Bakal membuka tirai pada 23 Jun, jam 9 malam di TV3, rancangan itu menjanjikan kejutan dan kelainan luar biasa.

Menampilkan kelainan, konsep kali ini memperkenalkan penyanyi misteri duo – memberi lebih cabaran kepada pasukan penyiasat.

Menurut Penerbit Eksekutifnya, Jamil Hassan, setiap episod akan melibatkan lima penyanyi misteri solo dan sepasang penyanyi misteri duo.

“Lima peserta solo dan satu peserta duo kita letakkan dan itu yang saya katakan tadi, itu akan lebih mencabar kepada panel tetap dan undangan untuk meneka penyanyi sebenar,” katanya ketika ditemui selepas sidang media di Petaling Jaya petang tadi.

Bagi Bell Ngasri, selaku salah seorang juri tetap kali ini, pengalamannya sebagai juri jemputan pada musim sebelum ini menjadikan dia tidak mudah tertipu dengan penyanyi bersuara sumbang.

“Saya adalah seorang yang bijak memilih atau meneka siapa penyanyi sebenar dan memang betul kata-kata mereka, saya ibarat ‘Detective Conan’.

“Saya tahu siapa yang menyamar. Saya tahu siapa yang menyanyi,” ujarnya semasa ditemubual Buletin TV3.

Pelakon, Bell Ngasri.

Selain Bell, ahli panel penyiasat tetap menampilkan Naim Daniel, Riena Diana serta Siti Khadijah Halim.

Gandingan mantap Izzue Islam dan Shiha Zikir selaku hos juga dikekalkan.

Hos I Can See Your Voice Malaysia musim ke-7, Izzue Islam dan Shiha Zikir.

Musim ketujuh ini juga menyaksikan penyanyi-penyanyi misteri hadir dengan tema pakaian yang berbeza seperti seram, bollywood, rock dan retro.

Program ini bakal bersiaran selama 11 episod dan mempunyai 4 pusingan untuk artis jemputan mengenal pasti dan menyingkirkan penyamar bersuara sumbang di 3 pusingan awal.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini