PETALING JAYA: Sikap mendiamkan diri Lee Zii Jia sehingga hari terakhir bagi memberi maklum balas kepada program Road To Gold (RTG), sudah memberi gambaran buat legenda Datuk Lee Chong Wei, pemain nombor dunia itu tidak berminat menyertai program terbabit.
Pemenang pingat perak Sukan Olimpik sebanyak tiga kali itu berkata, sewaktu zamannya bergelar pemain hinggalah bersara, beliau tidak pernah melihat mana-mana atlet kebangsaan menolak sebarang bentuk bantuan ditawarkan kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan sebelum ini.
“Saya tidak pernah dengar atlet tak sokong sebarang program sukan oleh kerajaan, saya percaya ini (Zii Jia) pertama kali. Ketika waktu saya dahulu, jika kerajaan mahu beri sokongan kita gembira dan terima apa yang mereka tawarkan.
Sebagai ahli jawatankuasa RTG, tambah Chong Wei, mereka tidak pernah meletakkan sebarang sekatan ke atas mana-mana atlet di bawah program tersebut memandangkan ia merupakan perkhidmatan tambahan bagi membantu atlet menyiapkan diri memburu emas sulung negara pada Sukan Olimpik 2024 di Paris serta edisi 2028 di Los Angeles.
Semalam, Jawatankuasa RTG dalam satu kenyataan memaklumkan keputusan Zii Jia tidak terlibat dalam program tersebut dicapai bersama pasukan LZJ yang mewakili atlet berusia 25 tahun itu menerusi pertemuan secara dalam talian.
Menerusi pertemuan tersebut, Zii Jia diwakili jurulatihnya Wong Tat Meng serta Liew Daren dan pengurusnya Lee Zii Yi menerangkan pendirian diambil atlet itu untuk tidak menyertai program tersebut, selain tidak lagi memerlukan bantuan tambahan bakal dinikmatinya.
Walau bagaimanapun, pasukan LZJ telah memberi jaminan bahawa mereka akan terus bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan menjelang temasya sukan terbesar dunia itu tahun depan.
Antara atlet yang berada dalam program RTG adalah jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang, juara beregu lelaki dunia 2022 Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan ratu terjun Datuk Pandelela Rinong.
Sementara itu, . Penyelaras Program RTG, Datuk Stuart Ramalingam berkata, keengganan Zii Jia menolak RTG bukan isu besar kerana atlet lain sudah menandatanganinya.
“Ini adalah bagi membuktikan komitmen mereka kepada program ini, kami tidak mahu hari ini mereka masuk, tapi selepas tiga bulan mereka rasa tidak mahu, mereka nak keluar begitu saja,” kata Stuart
Tambah Stuart, pihaknya menerima keputusan dibuat pemain perseorangan lelaki profesional negara itu dengan terbuka dan fokus akan berikan kepada atlet lain yang terpilih.
“Kami tidak berasa terlalu kecewa dengan keputusannya kerana ia tidak mengubah apa-apa perancangan yang sudah disusun RTG,” kata Stuart.