KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia memburu pengakhiran musim yang gemilang apabila membuat penampilan ketiga pada Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou, China dari 11 hingga 15 Disember depan.
Pemain nombor tujuh dunia itu berkata, dia teruja untuk kembali beraksi pada kejohanan akhir musim itu selepas kali terakhir pada edisi 2021 di Bali, Indonesia yang menyaksikan dia berjaya mara ke separuh akhir.
Dia layak kali pertama ke Jelajah Dunia Akhir pada edisi 2020 di Bangkok.
“Ia sesuatu yang positif apabila berjaya layak ke Jelajah Dunia Akhir selepas dua tahun.
“Saya teruja untuk kembali beraksi dalam Jelajah Dunia Akhir. Diharapkan kali ini saya mampu mendapatkan keputusan yang baik,” kata Zii Jia menerusi rakaman audio yang dimuat naik di akaun X Team LZJ.
Zii Jia berdepan detik cemas sebelum berjaya mengesahkan tiket ke Jelajah Dunia Akhir yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan AS$2.5 juta (RM11.18 juta) itu selepas tersingkir pada pusingan pertama Masters China di Shenzen, kelmarin.
Bagaimanapun, dia yang menghuni ranking keenam Jelajah Dunia boleh menarik nafas lega selepas dua lagi pencabar terdekatnya Koki Watanabe dari Jepun dan pemain China, Li Shi Feng turut terkandas di pusingan pertama.
Keputusan itu menyaksikan kedudukan Zii Jia dalam kelompok tujuh terbaik ranking Jelajah Dunia sudah terjamin sekali gus mengesahkan slot beraksi di Hangzhou.
Hanya tujuh pemain teratas menerusi ranking Jelajah Dunia layak ke Hangzhou dengan bintang Denmark, Viktor Axelsen mendapat slot automatik selaku juara Olimpik Paris 2024.
Pada saingan musim ini, Zii Jia yang dibimbing Wong Tat Meng berjaya merangkul dua gelaran Jelajah Dunia iaitu Terbuka Thailand dan Terbuka Australia.
Dia juga muncul naib juara Masters Malaysia.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.