Tumpuan :
Sukan

Zii Jia, Tat Meng berpisah hujung tahun ini

Lee Zii Jia mengumumkan akan berpisah dengan jurulatihnya, Wong Tat Meng (kanan).

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan profesional lelaki negara, Lee Zii Jia mengumumkan akan berpisah dengan jurulatihnya, Wong Tat Meng selepas kontrak jurulatih itu berakhir pada 31 Disember ini.

Perkara itu disahkan Team LZJ menerusi satu kenyataan yang dibuat di laman media sosial Twitter rasminya, hari ini.

Tat Meng, 57, yang pernah menjadi jurulatih skuad kebangsaan badminton Malaysia mula menyertai Team LZJ sejak Julai tahun lalu.

“Dengan rasa berat hati dan penuh penghargaan, Team LZJ menerima keputusan Pengarah Kejurulatihan, Wong Tat Meng untuk memulakan fasa baharu dalam kerjaya kejurulatihannya.

“Tat Meng memainkan peranan penting dalam membimbing Zii Jia kembali ke kedudukan 10 terbaik dunia selain meraih pingat gangsa Olimpik Paris 2024,” tulis kenyataan itu.

Begitupun, Tat Meng akan terus melatih Zii Jia sehingga kontraknya tamat bagi membantu persediaan pemain ranking nombor lapan dunia itu menghadapi Jelajah Dunia Akhir BWF (Persekutuan Badminton Dunia).

“Team LZJ turut mengucapkan terima kasih atas dedikasi, kepakaran dan panduan sepanjang tempoh perkhidmatan Tat Meng dan akan memaklumkan bahawa penggantinya akan diumumkan dalam masa terdekat,” kata kenyataan itu.

Sebelum ini, Tat Meng yang mempunyai pengalaman lebih 20 tahun bergelar jurulatih pernah mendedahkan tidak menolak kemungkinan akan bersara selepas Sukan Olimpik Paris 2024 berakhir.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini