PETALING JAYA: Meskipun sering menjadi kritikan susulan prestasi yang tidak menentu juga kontroversi yang terkait di luar gelanggang, Lee Zii Jia membuktikan dia tetap pemain nombor satu negara buat masa ini.
Itulah yang dibuktikan Zii Jia apabila menewaskan pemain yang hangat diperkatakan bakal menggantikannya sebagai pemain utama negara, Ng Tze Yong, pada pusingan pertama Kejohanan Badminton Masters China sebentar tadi.
Bagaimanapun bukan mudah buat Zii Jia sebelum melakar kemenangan apabila dipaksa beraksi tiga set pada permainan yang berlanjutan 1 jam 15 minit itu.
Menang 21-15 pada set pertama, Zii Jia diberi tentangan sengit Tze Yong pada set kedua.
Persaingan kedua-dua pemain tambah mendebarkan apabila Tze Yong berpeluang menamatkan permainan pada kedudukan 20-18, bagaimanapun Zii Jia bangkit mengikat kedudukan 20-20 sebelum Tze mengutip dua mata terakhir untuk kemenangan 22-20.
Set penentuan agak seimbang pada awal saingan sehinggalah Zii Jia mendahului 15-13.
Biarpun Tze Yong cuba mengejar, Zii Jia memperkemaskan permainannya dengan kawalan gelanggang dan hantaran mengelirukan untuk mengesahkan laluan ke pusingan kedua selepas menamatkan set penentuan 21-17.
Ini kekalahan ketiga Tze Yong kepada Zii Jia pada siri antarabangsa BWF tahun ini selepas Terbuka Australia dan Terbuka Arctic.
Pada pusingan kedua esok Zii Jia akan berdepan pemain tuan rumah Lu Guang Zu.