comscore
Tumpuan :
Sukan

Zii Jia sah slot di Jelajah Dunia Akhir

Lee Zii Jia.- Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia mengesahkan tiket ke saingan Jelajah Dunia Akhir BWF (Persekutuan Badminton Dunia) di Hangzhou, China dari 11 hingga 15 Disember depan biarpun tersingkir di pusingan pertama Masters China, semalam.

Zii Jia yang menghuni ranking keenam Jelajah Dunia boleh menarik nafas lega selepas dua lagi pencabar terdekatnya iaitu Koki Watanabe dari Jepun dan pemain China, Li Shi Feng turut terkandas di pusingan pertama, semalam.

Pemenang pingat gangsa Olimpik Paris 2024 itu perlu berterima kasih kepada jaguh Denmark, Viktor Axelsen yang menewaskan Watanabe manakala Shi Feng tunduk di tangan pemain Taiwan, Lin Chun Yi.

Keputusan itu menyaksikan kedudukan Zii Jia dalam kelompok tujuh terbaik ranking Jelajah Dunia sudah terjamin sekali gus mengesahkan slot beraksi di Hangzhou.

Hanya tujuh pemain teratas menerusi ranking Jelajah Dunia layak ke Hangzhou dengan Axelsen mendapat slot automatik selaku juara Olimpik Paris 2024.

BWF turut memuat naik poster di akaun X badan induk itu, semalam yang mengesahkan Zii Jia bersama pemain Thailand, Kunlavut Vitidsarn layak ke saingan Jelajah Dunia Akhir di Hangzhou.

“Tahniah kepada Kunlavut Vitidsarn dan Lee Zii Jia,” tulis BWF.

Sebagai rekod, ini akan menjadi penampilan ketiga Zii Jia dalam kejohanan akhir musim yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan AS$2.5 juta (RM11.17 juta) itu selepas edisi 2020 dan 2021.

Pencapaian terbaiknya adalah mara ke separuh akhir edisi 2021 di Bali, Indonesia.

Pada saingan musim ini, Zii Jia yang berada di bawah bimbingan Wong Tat Meng berjaya merangkul dua gelaran Jelajah Dunia iaitu Terbuka Thailand dan Terbuka Australia.

Dia juga muncul naib juara di Masters Malaysia.

Setakat ini, Malaysia akan mempunyai lima wakil di Jelajah Dunia Akhir iaitu Zii Jia; beregu lelaki, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei; beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah dan dua beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei serta Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie.

Beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang ketika ini menghuni ranking kesembilan Jelajah Dunia turut berpeluang layak tetapi perlu sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir Masters China untuk menembusi kelompok lapan terbaik

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Lee Zii Jia ketika beraksi di Masters Malaysia, Mei lalu. Foto fail NSTP
Loading...
Terkini