comscore
Tumpuan :
Sukan

Zii Jia optimis kemampuan barisan perseorangan berdepan Denmark

Aksi Zii Jia menentang Algeria semalam, Malaysia menang 5-0. FOTO: BAM

KUALA LUMPUR: Bersetuju dengan penilaian barisan beregu negara tampak lebih mantap berbanding perseorangan  menentang Denmark pada penentuan juara Kumpulan D Piala Thomas esok, Lee Zii Jia tetap percaya kemampuan yang dimiliki rakan perseorangan.

“Saya setuju kekuatan kita condong ke arah beregu, Aaron Chia -Soh Wooi Yik konsisten manakala Goh Sze Wei – Izuddin Rumsani dalam prestasi terbaik, tetapi pemain perseorangan mesti bekerja keras memainkan peranan masing-masing.

“Daripada dua perlawanan, kita dapat lihat Leong Jun Hao mengejutkan Angus Ng dan Justin Hoh menang kedua-dua perlawanan,

“Mereka telah buktikan mampu mengalahkan pemain lebih tinggi ranking dan kini tiba masanya untuk terus bangkit dan menundukkan pemain yang lebih baik,” ujar Zii Jia.

Kali terakhir Malaysia berdepan Denmark pada aksi kumpulan  Piala Thomas pada 2018 di Bangkok, Malaysia tewas 2-3.

Manakala pada 2016 Malaysia kalah  2-3 di separuh akhir dan Denmark muncul buat kali pertama pada tahun itu menewaskan Indonesia 3-2 pada perlawanan akhir.

“Sebagai ‘underdog’ kita akan berjuang kerana segala-galanya berkemungkinan”, kata Zii Jia ketika ditemu bual Persatuan Badminton Malaysia.

Zii Jia yang dijangka bertemu pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen sedar, perlu berada di prestasi untuk mendapatkan mata pertama negara.

Hakikatnya memang bukan tugas mudah dengan rekod pertemuan sebanyak lapan kali menentang Axelsen, Zii Jia cuma menang tiga kali.

Meskipun Axelsen dilaporkan bergelut dengan prestasinya memasukki saingan musim ini, Zii Jia tetap yakin kekuatan Axelsen yang masih bergelar pemain nombor satu dunia.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini