
KUALA LUMPUR: Bintang perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia semakin hampir dalam misi menamatkan kemarau kejuaraan dialaminya selepas melangkah ke suku akhir Masters Orleans di Perancis, sebentar tadi.
Pemain ranking ketujuh dunia itu hanya memerlukan setengah jam bagi menyingkirkan bekas pemain nombor satu dunia dari India, K Srikanth 21-11, 21-17 pada pusingan kedua di Palais des Sports, Orleans.
Ini adalah kejohanan pertama Zii Jia musim ini selepas terpaksa berehat susulan kecederaan buku lali kanan yang dialaminya ketika Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou, China pada Disember lalu.
Sebagai rekod, kali terakhir Zii Jia muncul juara adalah sembilan bulan lalu yang menyaksikan dia mengungguli saingan Terbuka Australia.
Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris itu akan menentang pemenang perlawanan antara pemain Jepun, Yushi Tanaka dengan Nhat Nguyen dari Ireland bagi perebutan tiket ke separuh akhir, esok.
Sementara itu, nasib berbeza dialami beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang dikejutkan dengan kekalahan di tangan gandingan baharu Indonesia, Rehan Naufal Kusharjanto-Gloria Emanuelle Widjaja di pusingan kedua hari ini.
Ia sekali gus memusnahkan impian mereka untuk merampas kembali gelaran yang pernah dimenangi pada tahun 2023.
Pilihan utama kejohanan itu ditunjukkan jalan keluar selepas tewas 8-21, 17-21 di tangan Rehan-Gloria yang tampil dominan sejak awal perlawanan.
Rehan-Gloria berada di kedudukan ke-173 dunia dan hanya bermain dalam kejohanan ketiga mereka selepas muncul naib juara Terbuka Jerman, Ahad lalu.
Bagaimanapun, satu lagi beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin berpeluang menebus kekalahan ‘kakak dan abang’ mereka itu apabila membuat perhitungan dengan Rehan-Gloria pada suku akhir, esok.
Terdahulu, Pang Ron-Su Yin mengesahkan tiket ke kelompok lapan terbaik selepas bangkit daripada kekalahan set pertama untuk mengatasi gandingan Taiwan, Ming Che Lu-Hung En Tzu 16-21, 21-13, 21-16 dalam tempoh 49 minit.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.