comscore
Tumpuan :
Sukan

Zii Jia mara ke pusingan kedua, Jun Hao kandas awal

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia berjaya melangkah ke pusingan kedua Terbuka Artik di Vantaa, Finland, hari ini.

Zii Jia yang tampil dengan misi mempertahankan gelaran juara dimenangi tahun lalu tidak berdepan masalah menundukkan pemain Perancis, Christo Popov.

Pemain nombor empat dunia itu mempamerkan dominasi dalam kedua-dua set permainan yang menyaksikan dia mencatat kemenangan 21-15, 21-11 dalam tempoh 43 minit di Vantaan Energia Areena.

Ini adalah kemenangan kedua berturut-turut Zii Jia ke atas lawan itu selepas turut menang dalam pertemuan pertama mereka di Terbuka Jerman 2022.

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu akan bertemu Yushi Tanaka bagi perebutan tiket ke suku akhir esok selepas pemain Jepun itu menundukkan wakil China, Lei Lan Xi 21-17, 27-29, 21-16.

Sementara itu, nasib berbeza dialami seorang lagi wakil perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao apabila terpaksa pulang awal selepas tewas di tangan pemain Hong Kong, Lee Cheuk Yiu.

Jun Hao berjaya memberi tentangan sengit di set pertama tetapi terpaksa akur tewas 19-21.

Pemain berusia 25 tahun itu yang diharapkan bangkit untuk mengheret aksi ke set penentuan bagaimanapun tidak berjaya melakukannya apabila tewas 9-21 sekali gus memberikan tiket kepada Cheuk Yiu untuk ke pusingan kedua.

Ini adalah kekalahan kedua berturut-turut Jun Hao ke atas lawan berkenaan selepas turut tewas di pusingan kedua Terbuka Hong Kong, bulan lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini