![](https://media.buletintv3.my/2024/12/BULETIN-TV3-N-2024-12-07T143717.399.jpg)
KUALA LUMPUR: Cabaran sukar menanti pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia pada Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) 2024 di Hangzhou, China bermula Rabu ini.
Zii Jia yang tampil dengan prestasi tidak konsisten selepas memenangi pingat gangsa di Olimpik Paris 2024 diundi dalam Kumpulan A yang turut diisi pemain nombor dua dunia, Anders Antonsen dari Denmark.
Turut mengisi Kumpulan A adalah pemain Taiwan, Chou Tien-chen serta pemain China, Li Shifeng.
Zii Jia yang mengharapkan ‘tuah’ untuk mara ke kejohanan elit itu berpeluang memberikan hadiah perpisahan terbaik buat jurulatihnya, Wong Tat Meng, jika segalanya berjalan lancar.
Dalam kategori beregu lelaki, kedua-dua wakil negara Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei dan Aaron Chia-Sooh Woi Yik berjaya mengelak pertembungan awal selepas diundi dalam kumpulan berbeza.
Gandingan profesional negara, Sze Fei-Izzuddin menghuni Kumpulan A yang turut diisi beregu nombor tiga dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dan dua wakil Taiwan, Lee Jhe-huei-Yang Po-hsuan dan Lee Yang-Wang Chi-lin.
Aaron-Wooi Yik pula dalam Kumpulan B yang turut dihuni dua pasangan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dan Sabar Karyaman Gutama-Muhammad Reza Pahlevi Isfahani serta gandingan China, He Jiting-Ren Xiangyu.
Sementara itu, cabaran getir menanti beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah selepas diundi dalam ‘kumpulan maut’ iaitu Kumpulan A yang turut diisi beregu nombor satu dunia dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning dan beregu nombor empat dunia, Nami Matsuyama-Chiharu Shida dari Jepun.
Sementara itu, pasangan beregu campuran negara Goh Soon Huat-Shevon Lai dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei bakal bertemu sesama sendiri lebih awal apabila kedua-duanya diundi menghuni Kumpulan B.
Mengikut format kejohanan, hanya dua pasangan teratas setiap kumpulan layak ke separuh akhir.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.