PETALING JAYA: Undian pusingan pertama Kejohanan Badminton Masters China di Shenzhen nyata ‘merugikan’ pasukan negara apabila dua jaguh perseorangan, Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong terpaksa bertarung sesama sendiri.
Bermakna salah seorang terpaksa pulang awal mengulangi cerita sama pada Kejohanan Master Jepun minggu lalu,
Pada Masters Jepun yang berlangsung di Kumamoto, Zii Jia tersingkir seawal pusingan pertama selepas tewas kepada pemain Denmark Anders Antonsen, manakala Tze Yong terkandas pada pusingan kedua, juga kalah kepada lawan dari Denmark Viktor Axelsen.
Pusingan pertama Masters China yang bermula esok turut ‘mengorbankan’ salah satu beregu lelaki terbaik negara Aaron Chia – Soh Wooi Yik dan Ong Yew Sin – Teo Ee Yi apabila mereka juga terpaksa bertembung sesama sendiri.
Aaron – Wooi Yik yang diletakkan pilihan ke-3 tersingkir seawal pusingan kedua pada Masters Jepun minggu lalu apabila dikalahkan beregu tuan rumah Akira Toga – Taichi Saito.
Yew Sin – Ee Yi pula cemerlang mara ke separuh akhir sebelum disekat pasangan China, Liu Yu Chen – Ou Xuan YI.