comscore
Tumpuan :
Sukan

Zii Jia, Aaron-Wooi Yik dapat ‘durian runtuh’ Olimpik

Hannah (dua dari kanan) bersama Michael (kanan), Chew, Aaron (dua dari kiri) dan Wooi Yik pada majlis penyerahan SUV Chery, hari ini. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024, Aaron Chia-Soh Wooi Yik bakal menerima insentif Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) berjumlah RM200,000.

Pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia pula menerima ganjaran keseluruhan RM 250,000.

Ini bermakna, Aaron-Wooi Yik bakal menerima RM100,000 setiap seorang dan itu pertama kali dalam sejarah SHAKAM memberikan hadiah sebanyak itu bagi acara berpasukan.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, Majlis Sukan Negara (MSN) mengambil keputusan untuk memberikan ganjaran itu kepada Aaron-Wooi Yik selepas melihat perih jerih serta pencapaian mereka di pentas Olimpik.

Beliau berkata, mereka sudah berusaha keras untuk mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia dan berjuang berhabis-habisan di Olimpik.

“Ini kali kedua Aaron-Wooi Yik membawa pulang pingat gangsa (Tokyo 2020 dan Paris 2024).“Jadi MSN memutuskan untuk memberi ganjaran RM100,000 setiap seorang kepada mereka tanpa perlu berkongsi,” kata Hannah pada majlis penyerahan kenderaan utiliti sukan (SDUV) Chery, di sini, hari ini.

“Zii Jia diberikan geran RM50,000 sebelum Paris 2024 dan beliau akan menerima tambahan RM100,000 di bawah skim MSN, RM100,000 pula hadir menerusi hadiah SHAKAM.

“Kami percaya bahawa sukan adalah alat penyatu untuk Malaysia. Kami menggalakkan sektor swasta untuk memainkan peranan mereka dalam memberi ganjaran kepada atlet apabila mereka membawa pulang pingat.

“Apa yang menjadikan tindakan Chery istimewa adalah mereka meraikan semua pemenang pingat,” katanya.

Untuk makluman, pemenang emas Sukan Olimpik akan menerima RM1 juta, perak (RM300,000) dan gangsa (RM100,000).

Selain itu, mereka turut menerima Skim Imbuhan Tetap Olimpik berkuatkuasa bulan hadapan yang diberikan secara bulanan sepanjang hayat dengan pemenang emas diberikan RM5,000, perak RM3,000 dan gangsa bernilai RM2,000.

Terdahulu, Hannah hadir bagi penyerahan SUV Chery bernilai RM123,800 di Puchong yang dihadiri Pengarah MSN, Abdul Rashid Yaakub dan Naib Presiden Chery Malaysia, Michael Chew.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini