Tumpuan :
Sukan

Zi Yu-Dania terlepas peluang cipta sejarah, tewas di pentas final

Zi Yu-Dania terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara Kejohanan Remaja Dunia di Nanchang, China. Foto BAM

KUALA LUMPUR: Hasrat beregu wanita remaja negara, Low Zi Yu-Dania Sofea Zaidi untuk mencipta sejarah bergelar juara di Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Nanchang, China tidak kesampaian selepas tewas di pentas final, hari ini.

Pada aksi di Pusat Sukan Antarabangsa Nanchang itu, Zi Yu-Sofea tunduk kepada pasangan Jepun, Ririna Hiramoto-Aya Tamaki dalam perlawanan straight set yang mengambil masa selama 43 minit.

Selepas membuat pelbagai kejutan termasuk menyingkirkan pilihan utama dari China, Chen Fan Shu Tian-Liu Jia Yue semalam, pasangan negara itu tampak sedikit keletihan.

Dan kelebihan itu digunakan sepenuhnya Hiramoto-Tamaki yang tampil lebih berkeyakinan untuk memenangi set pertama 21-17.

Tidak diletakkan sebagai pilihan, Zi Yu-Sofea tampil dengan permainan lebih kemas pada set kedua namun langkah mereka bagaikan tersekat susulan beberapa siri kesilapan.

Sekalipun pada satu ketika terikat 15-15, Hiramoto-Tamaki yang diletakkan pilihan keempat membuktikan mereka lebih berpengalaman apabila menoktahkan kemenangan dengan 21-17.

Begitupun, kejayaan mara ke final jelas sesuatu yang positif buat Low Zi, 14 tahun manakala Sofea berusia 17 tahun.

Sebagai rekod, Malaysia tidak pernah memiliki juara remaja dunia dalam acara beregu wanita sebelum ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini