KUALA LUMPUR: Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman sedia menjual kelab itu kepada pemilik Erfan Gym & Fitness, Erfan Akif Ruslan.
Ia selepas individu berkenaan dilaporkan bersedia menawarkan sehingga RM10 juta bagi mengambil alih The Red Warriors (TRW).
Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham bagaimanapun menjelaskan Erfan perlu mengemukakan bukti dana terlebih dahulu.
Malah, beliau berkata akan mengadakan pertemuan dengan Erfan dan usahawan kosmetik, Datuk Seri Vida dalam masa terdekat.
“Ada orang tawarkan nak beli (Kelantan FC) RM10 juta. Insya-Allah saya akan jual pada saudara Erfan, beliau hanya berikan proof of fund untuk buktikan beliau benar-benar serius.
“Hari ini saya ke Pulau Pinang untuk lihat perlawanan musim kedua dan berjumpa saudara Erfan dan Datuk Seri Vida dalam masa terdekat,” kata Zamsaham di Facebook miliknya.
Zamsaham sebelum ini memberi bayangan bahawa nilai bagi TRW melebihi RM5 juta.
Setakat ini, beliau mengesahkan Vida atau nama sebenarnya Datuk Seri Hasmiza Othman dan Erfan sebagai individu yang berminat untuk mengambil alih kelab itu.
Vida dalam laporan BH Sukan sebelum ini bagaimanapun menegaskan perlu mendapatkan maklumat terperinci mengenai keadaan TRW terlebih dahulu sebelum memikirkan ‘tanda harga’ sesuai bagi membeli kelab itu.