Tumpuan :
Sukan

Zaidatul mohon KOM, MSN kekalkan Poad

Zaidatul memecahkan rekod kebangsaan 100m semalam. FOTO: KOM

KUALA LUMPUR: Ratu pecut negara yang juga pemegang rekod kebangsaan 100 meter (m) wanita, Zaidatul Husniah Zulkifli memohon kepada Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk mengekalkan jurulatihnya, Mohd Poad Md Kassim sekurang-kurangnya setahun lagi.

Zaidatul, 31, yang memecahkan rekod kebangsaan dipegang oleh G Shanti di Terbuka Perlis semalam, berharap Poad terus diberi peluang membimbing barisan pelari pecut negara.

Zaidatul atau lebih mesra dengan panggilan Adik berkata, dia sudah membuktikan program Poad membuahkan hasil walaupun tidak menyertai mana-mana kejohanan di luar negara tahun ini.

“Saya merayu dan berharap sangat agar persatuan (KOM) dapat tolong kekalkan Poad.

“Kenapa tak kekalkan Poad untuk setahun lagi sehingga Sukan Sea Thailand. Bersama dengan Poad saya sudah membuktikan catatan masa saya lebih baik.

“Bukan senang nak buat masa macam tu (pecahkan rekod). Selalu kena pergi luar negara baru boleh buat.

“Tapi saya buktikan di bawah Poad, kat Malaysia pun saya boleh buat. Jadi saya harap sangat semua pihak dapat tolong,” katanya.

Semalam, Husniah memecahkan rekod kebangsaan selepas mencatatkan 11.49 saat (s) sekali gus memadam rekod yang juga berusia 31 tahun milik G Shanti, 11.50s.

Justeru, Husniah memohon untuk tidak menjadikan atlet negara sebagai mangsa keadaan kerana ia akan menjejaskan persiapan atlet ke Sukan Sea Thailand.

“Saya bimbang jika bertukar jurulatih, agak sukar untuk kami menyesuaikan diri. Bukan senang untuk atlet jika ubah program sekarang.

“Sukan Sea sudah tak lama. Kami juga membuat persiapan untuk acara berganti-ganti,” katanya yang turut meraih pingat gangsa di Sukan Asia Hangzhou juga ketika di bawah bimbingan Poad.

Di bawah Poad beberapa atlet menunjukkan peningkatan ketara antaranya Nur Afrina Batrisyia Rizal yang memecahkan rekod Sukan Malaysia (Sukma) dalam acara 100 dan 200m.

Johnathan Nyepa yang meraih emas di Terbuka Perlis semalam turut menempah tiket ke Sukan Sea Thailand untuk kategori A dengan catatan 10.41s.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini