Tumpuan :
Sukan

Zaidatul kini sah pemegang rekod kebangsaan 100m

Zaidatul melebur rekod 32 tahun dipegang G Shanti selepas WA mengiktiraf catatan 11.49s, yang dilakukannya di Olahraga Terbuka Perlis, Oktober tahun lalu. FOTO: Fail NSTP

KUALA LUMPUR: Selepas berteka-teki, Olahraga Dunia (WA) akhirnya mengiktiraf rekod kebangsaan bagi acara 100 meter (m) wanita iaitu 11.49 saat (s) yang dilakukan pelari pecut wanita negara, Zaidatul Husniah Zulkifli.

Catatan itu direkodkan Zaidatul pada Kejohanan Olahraga Terbuka Perlis, Oktober tahun lalu.

Menurut kenyataan rasmi dikeluarkan menerusi Facebook (FB) hari ini, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) memaklumkan rekod dilakukan Zaidatul adalah sah dan dia kini memegang status pelari paling pantas bagi acara 100m di Malaysia.

“Rekod emas dilakar ratu pecut negara, Zaidatul dalam acara 100m wanita dengan catatan 11.49 saat dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Perlis Cahya Mata Sarawak Super Series V diiktiraf oleh World Athletic (WA),” kata KOM.

Sebelum ini, rekod terpantas dipegang G Shanti dengan catatan masa 11.50s yang dilakukan di Kuala Lumpur pada 7 Mei 1993 yang bertahan selama 32 tahun sebelum ia lebur di tangan Zaidatul.

Namun, rekod itu hampir tidak diiktiraf apabila Pengarah Teknikal KOM, Robert J Ballard memaklumkan pihaknya terpaksa menunggu seketika untuk WA mengiktiraf catatan masa itu selepas terdapat kesilapan daripada bahagian pentadbiran yang menyaksikan semua bacaan angin untuk acara pecut, lompat dan lari berpagar di Terbuka Perlis, Oktober lalu hilang daripada laporan keputusan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini