Oleh: Al Shaiful Nazib Talib
KOTA DAMANSARA: Jaguh Taiwan, Ho Yu-Cheng ceria selepas diangkat sebagai juara kejohanan golf Selangor Masters bagi edisi 2023.
Saingan yang berlangsung di lapangan Kelab Golf Seri Selangor itu berlangsung dengan cukup mencabar sebelum Yu-Cheng mengesahkan gelaran juara menerusi catatan par, 280 pukulan keseluruhan.
Yu-Cheng yang memulakan aksi hari terakhir dengan kelebihan 6 di bawah par bagaimanapun berakhir agak goyah sejak dari awal.
9 lubang pertama, dia dihukum dengan catatan 4 bogey lubang 1, 2 5 dan 9 menyaksikan catatannya mula merudum.
Dan tekanan terus dirasainya pada baki lubang dua selepas turut dibayangi empat lagi bogey lubang 11, 14, 17 dan 18 dengan dua birdie lubang 6 dan 12 sekidit menyelamatkan keadaan.
Namun segalanya bagai sudah tertulis, walaupun dia sekadar membuat pukulan bogey pada lubang terakhir, ia turut menoktahkan gelaran juara menjadi miliknya menerusi catatan par, 280 pukulan keseluruhan.
“Memang sangat mengujakan untuk memenangi gelaran ADT (Jelajah Pembangunan Asia) sulung saya, lebih istimewa hanya saya seorang saja pemain Taiwan yang beraksi di sini, memang satu langkah besar buat diri saya.
“Saya berdepan kesukaran dengan beberapa pukulan saya hari ini, tetapi selepas saya melakukan kesilapan, kedi saya akan segera memberi semangat untuk saya bersabar dan fokus untuk pukulan seterusnya,” kata Yu-Cheng.
Selaku juara, Yu-Cheng membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah USD30,650 selain trofi kejuaraan, sekaligus turut menyaksikan dia melonjakkan kedudukan dalam ‘Order Of Merit’ ADT ke tangga kedua dari posisi ke 10 dengan jumlah hadiah kemenangan USD46,742.29.
Dalam pada itu, gelaran pemain terbaik Malaysia menjadi milik Ervin Chang menerusi catatan 284 pukulan, 4 di atas par keseluruhan, menyaksikan dia turut membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM10,000.
Bermula goyah dengan catatan 76 pukulan pada hari pertama, Ervin bangkit pada dua pusingan seterusnya menerusi catatan 69 dan 66 pukulan.
Namun, ‘double bogey’ lubang 5 selain tiga bogey lubang 6, 13 dan 17 memaksanya berpuas hati dengan catatan 73 pukulan, 284 pukulan keseluruhan, 4 di atas par.
Kejohanan golf Selangor Masters yang disenaraikan dalam siri ADT menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah USD175,000.