Tumpuan :
Sukan

Young Tigers tercorot di Piala Sultan Johor 2024

Pemain Malaysia, Adam Ashraf cuba melepasi pemain Jepun pada aksi penentuan tempat kelima SOJC hari ini. – FOTO: NSTP

JOHOR BAHRU: Prestasi skuad hoki remaja negara terus membimbangkan apabila menamatkan Kejohanan Hoki Bawah 21 (B-21) Piala Sultan Johor (SOJC) edisi ke-12 dengan rekod tanpa kemenangan sekali gus menduduki tangga tercorot dari enam pasukan bertanding.

Kedudukan terakhir itu hadir selepas Young Tigers tewas 0-3 kepada Jepun menerusi penentuan penalti shoot-out berikutan kedua-dua pasukan terikat 2-2 dalam aksi 60 minit permainan di Stadium Hoki Johor, Taman Daya, hari ini.

Ternyata kedudukan itu mengundang rasa tidak puas hati ketua jurulatih, I Vikneswaran yang menegaskan Young Tigers sepatutnya menang ke atas skuad kendalian Yoshihiro Anai selepas menguasai sepanjang perlawanan itu.

“Kita dapat banyak pukulan sudut penalti dan memiliki peluang menjaringkan gol tapi kita kerap buat kesilapan dan ianya merugikan terutama pada dua minit terakhir yang membolehkan Jepun menjaringkan gol.

“Kita kena nilai semula secara serius dan segera perbaiki apa jua kelemahan kerana dalam permainan hoki kita boleh main baik dan mendahului pasukan lawan tapi perlu konsisten dan permainan adalah 60 minit bukan 50 minit atau 59 minit dan harus bersedia sehingga tamat permainan,” katanya.

Pada perlawanan itu, kedua-dua pasukan tampak bermain secara berhati-hati walaupun memiliki peluang mencipta jaringan namun gagal melakukan penyudah tepat sehingga berakhir babak pertama tatkala masing-masing berpuas hati dengan keputusan terikat tanpa jaringan.

Bersambung babak kedua pada suku ketiga, akhirnya Young Tigers berjaya memecah kebuntuan jaringan pada minit ke-16 selepas bola tolakan Harris Iskandar Osman ditampan Nur Aqirullah Mohd Khairul Anwar yang menghasilkan gol padang menewaskan Kuroda.

Namun jaringan itu tidak bertahan lama selepas skuad kendalian Yoshihiro Anai menyamakan jaringan pada minit ke-48 berpunca daripada bola umpananTsubasa Tanaka mudah disudahkan Yuto Higuchi menewaskan penjaga gol, Mohamad Rafaizul Mohamad Sani.

Young Tigers tidak berputus asa sebaliknya berjaya mendahului 2-1 apabila Harris Iskandar menyudahkan pukulan sudut penalti kali kelapan yang diraih pada minit ke-50 menewaskan Kuroda yang beraksi cemerlang pada perlawanan itu.

Jepun bangkit menyamakan jaringan selepas pengadil dari Sri Lanka, Mohomead Nawshad menghadiahkan penalti untuk Jepun pada minit ke-58 dan Jun Watanabe berjaya menjaringkan gol untuk mengikat kedudukan 2-2 yang menyaksikan pemenang ditentukan menerusi penentuan penalti shoot-out.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini