comscore
Tumpuan :
Sukan

“Young Tigers” giat persiapkan pasukan menjelang Piala Sultan Johor 2024

FOTO: Skuad Hoki Remaja Kebangsaan

Oleh: Hasnida Hanim Ahmad Kamil

JOHOR BAHRU: Persiapan skuad hoki remaja kebangsaan semakin giat dilaksanakan menjelang saingan Piala Sultan Johor 2024 yang akan membuka tirainya Sabtu ini.

Ketua Jurulatih, I. Vikneswaran, menyatakan bahawa walaupun pasukannya berjaya meraih kemenangan dalam aksi persahabatan pertama menentang New Zealand, masih ada ruang untuk penambahbaikan sebelum skuad ‘Young Tigers’ memulakan kempen di Stadium Hoki Taman Daya hujung minggu ini.

Dalam perlawanan persahabatan yang berlangsung semalam, skuad ‘Young Tigers’ mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas New Zealand. Dua gol jaringan Muhd Yadiy Saifuddin dan Che Nur Aqilrullah Che Mohd Khairulzi Anwar menyaksikan Malaysia berjaya merakam kemenangan tersebut.

I. Vikneswaran dalam kenyataannya berkata, “Walaupun keputusannya memihak kepada kami dengan skor 2-1, tetapi apa yang lebih penting adalah bagaimana pasukan menyesuaikan diri dengan padang, menyesuaikan diri dengan tekanan, dan kita juga fokus kepada proses permainan. Kita mahukan pasukan bergerak secara sepasukan, itulah antara objektif yang kita lihat.”

Skuad hoki remaja kebangsaan dijadualkan menghadapi dua lagi aksi persahabatan sebelum Piala Sultan Johor, bermula dengan perlawanan menentang Great Britain esok, diikuti dengan pertemuan dengan India sehari selepas itu.

Skuad ‘Young Tigers’ akan memulakan kempen mereka di Piala Sultan Johor 2024 menentang New Zealand pada Sabtu nanti.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini