comscore
Tumpuan :
Sukan

Yorke dilantik pengendali Trinidad and Tobago

Dwight Yorke sewaktu perlawanan amal pemain lagenda Manchester United menentang Bayern Munich pada tahun 1999. -FOTO: Reuters

WASHINGTON: Bekas penyerang Manchester United, Dwight Yorke dinamakan sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan Trinidad and Tobago semalam menjelang aksi kelayakan Piala Dunia 2026.

Dua hari sebelum sambutan hari jadinya ke-53, Yorke menerima cabaran untuk mengemudi Soca Warriors layak ke pusingan akhir Piala Dunia yang dianjur bersama Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada.

“Peluang untuk bekerja dengan kumpulan pemain berbakat dan akrab ini sesuatu yang saya nanti-nantikan,” kata Yorke dalam satu kenyataan dikeluarkan Persatuan Bolasepak Trinidad and Tobago.

“Selepas membantu Trinidad and Tobago ke separuh akhir Piala Emas CONCACAF pada tahun 2000, menjadi ketua pasukan pada Piala Dunia 2006 dan menjadi penolong pengurus, kecintaan dan komitmen saya terhadap pasukan kebangsaan tidak boleh dipertikaikan lagi.”

Beliau menambah: “Sebagai pemain saya mengalami beberapa detik yang luar biasa ketika menyarung jersi Trinidad and Tobago. Bersama skuad ini saya harap detik itu boleh diteruskan sebagai ketua jurulatih pula.”

Yorke mengetuai pasukan Trinidad and Tobago pada Piala Dunia 2006 yang mana mereka tersingkir pada pereingkat kumpulan dan selain beraksi dengan Manchester United dari 1998 hingga 2002 – termasuk kejayaan treble pada 1999 – beliau turut beraksi di Aston Villa, Birmingham City, Sunderland, Blackburn Rovers dan Sydney FC.

Yorke berkhidmat sebagai ketua jurulatih kelab Australia, Macarthur FC selama enam bulan yang berakhir pada Januari 2023.

“Pengalaman, kepimpinan dan komitmen Dwight terhadap pasukan merah, putih dan hitam adalah apa yang kami perlukan untuk mencetus inspirasi kepada pemain dan negara kami,” kata presiden persatuan Kieron Edwards. – AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini