PETALING JAYA: Hasrat beregu lelaki profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi untuk ‘bertemu’ rakan senegara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani pada aksi final Badminton Terbuka China nampaknya tidak kesampaian.
Pada perlawanan separuh akhir yang berlangsung di Pusat Sukan Olimpik Changzhou sebentar tadi, Yew Sin-Ee Yi tewas kepada beregu tuan rumah yang juga pilihan ke-5 He Ji Ting-Ren Xiang Yu.
Beregu negara akur dengan kekalahan 18-21,11-21 kepada lawan yang berada di kedudukan ke-7 dunia itu, dalam masa 43 minit.
Ini adalah pertemuan kali kedua mereka pada tahun ini apabila sebelum ini pernah bertemu pada di peringkat yang sama pada Terbuka Jerman yang menyaksikan Ji Ting-Xiang Yu turut mengecewakan pasangan negara.
Meskipun gagal mengikut jejak rakan senegara ke perlawanan akhir, pujian harus diberikan kerana tidak memberi laluan mudah untuk lawan mereka menang terutama di set pertama.
Untuk final esok, dua wakil negara bakal beraksi membabitkan beregu campuran profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai menentang pasangan tuan rumah, yang juga nombor tiga dunia, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping.
Manakala satu lagi beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani akan bertemu Ji Ting-Xiang Yu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.