Tumpuan :
Sukan

Wolves pecat O’Neil

Pengurus Wolves, Gary O’Neil ketika aksi terakhir kendaliannya menentang Ipswich Town di Stadium Molineux, Wolverhampton, lewat malam tadi. – Foto REUTERS

LONDON: Wolverhampton Wanderers memecat pengurus Gary O’Neil, umum kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu malam ini, selepas rentetan tanpa menang yang menyaksikan mereka terdampar di zon penyingkiran dan empat mata di belakang zon selamat.

Wolves menghuni tangga ke-19 carta dengan sembilan mata selepas kalah 1-2 di laman sendiri kepada Ipswich Town lewat malam tadi, melebarkan catatan kekalahan mereka kepada empat perlawanan liga, dengan hanya dua menang daripada 16 perlawanan musim ini.

Mereka juga dibolosi paling banyak dalam liga dengan 40 gol dan turut bergelut dengan isu luar padang, apabila Mario Lemina dilucutkan sebagai kapten selepas bergaduh dengan pemain West Ham, Jarrod Bowen.

“Wolves sudah berpisah dengan ketua jurulatih Gary O’Neil dan staf kejurulatihannya,” menurut kelab itu dalam satu kenyataan.

Perlawanan Wolves berikutnya di gelanggang Leicester City pada 22 Disember ini, dengan perlawanan sukar menanti menentang Manchester United dan Tottenham Hotspur hujung bulan ini.

Wolves gagal mencatat sebarang kemenangan dalam 10 perlawanan pertama mereka tetapi dua kemenangan ke atas Southampton dan Fulham bulan lalu dilihat mengendurkan sedikit tekanan.

Bagaimanapun, empat kekalahan berturut-turut dalam empat aksi terakhir menjurus kepada pemecatan O’Neil, yang hadir hanya beberapa hari selepas pengerusi kelab Jeff Shi menyokong pengurus itu di sebalik kritikan peminat.

“Kami amat berterima kasih kepada Gary dengan segala usahanya, dedikasi dan kerja keras sepanjang masanya di kelab dan kami mengucapkan beliau dan pasukannya semoga berjaya pada masa depan,” kata Shi.

Bekas bos Bournemouth, O’Neil, yang mempunyai kontrak hingga tahun 2026, dilantik oleh Wolves sebelum awal musim lalu selepas pengendali dari Sepanyol, Julen Lopetegui, kini di West Ham, meninggalkan kelab itu kerana bertelagah dengan ahli lembaga kelab.

Kelab Midlands itu berakhir di tangga ke-14 musim lalu, kedudukan terburuk kelab sejak mereka naik divisyen pada 2018.

Warga Inggeris, O’Neil mencatat 20 kemenangan, 11 seri dan 32 kalah dalam 63 perlawanan kendaliannya di Molineux.

Beliau pengurus ketiga EPL dipecat musim ini selepas Steve Cooper dan Erik ten Hag. – REUTERS

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini