KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun terlepas peluang beraksi di Jelajah Dunia Akhir BWF (Persekutuan Badminton Dunia) di Hangzhou, China, bulan depan.
Pengesahan ketiadaan pasangan ranking 14 dunia itu pada kejohanan berprestij membabitkan lapan beregu terbaik itu diperoleh susulan penyingkiran seawal pusingan pertama di Masters China, Shenzhen, semalam.
Sekalipun menghuni ranking ketujuh Jelajah Dunia Akhir ketika ini, pasangan itu sah terlepas tiket ke Hangzhou apabila tunduk kepada beregu Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard dalam aksi tiga set 21-19, 19-21, 17-21.
Lebih mengecewakan, lawan yang mengalahkan mereka dalam tempoh 66 minit itu adalah beregu yang menghuni ranking dunia lebih rendah – di kedudukan ke-29.
“Memang kecewa kerana kami sudah berjuang sepanjang tahun dan pada akhirnya, pada peluang terakhir kami, kami tidak bermain dengan baik dan tidak mendapat rentak yang diharapkan.
“Saya fikir yang permainan kami masih belum konsisten. Kami perlu mencari kembali permainan kami yang sebenar dan berusaha lebih baik selepas ini,” kata Wei Chong kepada BWF.
Berdasarkan pengiraan mata ke Hangzhou, jumlah pungutan mata (68,780) yang dikumpul Wei Chong-Kai Wun bakal dipintas beberapa beregu antaranya pasangan Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani yang sudah pun mara ke peringkat suku akhir.
Turut berpeluang untuk mengisi tempat di kejohanan yang menawarkan hadiah lumayan itu termasuklah pasangan negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi (Jepun), Rasmus Kjaer-Frederik Soogard (Denmark) dengan juara di Shenzhen membawa pulang 11,000 mata.
Setakat ini, Malaysia sudah memiliki lima wakil di Hangzhou menerusi pemain perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia; beregu lelaki profesional, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei; beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah dan dua beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei serta Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.