KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun muncul juara Masters Indonesia 2025 selepas menewaskan pasangan tuan rumah, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto di Istora Senayan, Jakarta, hari ini.
Seperti tidak menghiraukan kedudukan ranking lebih tinggi dan rekod pertemuan yang memihak lawan 4-0, Wei Chong-Kai Wun hanya memerlukan permainan straight set untuk menang 21-11, 21-19.
Malah gegak gempita sorakan ribuan penyokong di Istora Senayan juga seakan tidak memberi kesan kepada pasangan ranking ke-13 dunia itu dengan perlawanan hanya dimuktamadkan dalam tempoh 37 minit.
Permainan tampak tidak seimbang di awal set pertama apabila Fajar-Muhammad Rian yang menghuni ranking keempat dunia tampak gugup dan gagal mengimbangi corak permainan pantas Wei Chong-Kai Wun.
Hanya sekali membenarkan lawan mengatasi mereka dari sudut pungutan mata, Wei Chong-Kai Wun menggunakan kelebihan untuk menjarakkan jurang sehingga 19-11.
Set pertama ditamatkan dengan keputusan 21-11 selepas Fajar mengetuk bulu tangkis ke luar gelanggang sekalipun Kai Wun pada ketika itu sudah pun terduduk.
Set kedua menyaksikan Fajar-Muhammad Rian yang juga bekas pasangan nombor satu dunia cuba mengikuti corak permainan Wei Chong-Kai Wun.
Sekali pun beberapa kali berjaya mengikat kedudukan termasuk di mata 18-18 dan 19-19, kesilapan sangkut di jaring memberikan kemenangan kepada pasangan Malaysia.
Sebagai rekod, Wei Chong-Kai Wun sebelum ini mencipta sensasi apabila mara ke separuh akhir Terbuka Malaysia, awal bulan ini sebelum terkandas di pusingan pertama Terbuka India, minggu lalu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.