comscore
Tumpuan :
Sukan

 Wei Chong dan Kai Wun idam aksi sulung Sukan  Olimpik

Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Kedudukan dalam kelompok lapan teratas dunia kini menjadi misi utama beregu badminton lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun bagi merealisasikan hasrat membuat penampilan sulung di Sukan Olimpik Paris 2024.

Menurut Wei Chong, berbaki hanya enam bulan sebelum pusingan kelayakan ke Paris 2024 berakhir April depan, amat penting bagi mereka terus mempamerkan prestasi baik dalam usaha mengungguli kejohanan bertaraf Super 500 dan ke atas sekali gus mengumpul lebih banyak mata ke Sukan Olimpik.

“Peluang untuk mara ke Sukan Olimpik itu sentiasa ada tetapi kita perlu beraksi dengan baik, tidak boleh asyik kalah pada pusingan pertama atau kedua.

“Kita kena sasar kejohanan yang tinggi dan melakukan kejutan di sana,” ujar Wei Chong lagi  kepada media selepas menandatangani kontrak penajaan selama setahun selaku duta besar syarikat pemaju hartanah, NCT Alliance, di sini hari ini.

Wei Chong-Kai Wun kini  menduduki ranking ke-15 dalam kelayakan ke Paris 2024 di belakang juara dunia 2022, Aaron Chia-Soh Wooi Yik di ranking kedua dan beregu profesional, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi pula berada di kedudukan ke-11.

Setiap negara hanya dibenarkan untuk mempunyai dua wakil jika kedua-dua beregu berada dalam kelompok lapan terbaik dunia.

Pencapaian terbaik Wei Chong dan Kai Wun, apabila muncul juara sebanyak tiga kali bagi kejohanan bertaraf Super 300 iaitu Kejohanan Badminton Antarabangsa Syed Modi 2022 di India serta Terbuka Taiwan 2022 dan 2023.

Manakala bagi  kejohanan bertaraf tinggi, Wei Chong-Kai Wun  muncul naib juara sebanyak dua kali bagi Super 500 iaitu Masters Malaysia 2023 dan Terbuka Artik 2023.

Loading...
Terkini