LONDON: Pemain pertahanan Manchester City, Kyle Walker menandatangani lanjutan kontrak dua tahun bersama pemenang treble itu, awal pagi tadi.
Walker berada dalam tahun terakhir kontrak semasanya bersama City, namun juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu meletakkan pertahanan kanan itu dalam pasaran perpindahan hingga ke hari terakhir dan memujuknya untuk menyambung kontrak di Manchester.
Walker, 33, bersetuju dengan kontrak baharu itu, hanya beberapa minggu selepas masa depannya bersama pasukan Pep Guardiola diragui apabila dikaitkan dengan perpindahan ke Bayern Munich.
“Saya teruja untuk menandatangani kontrak baharu. Masa depan saya bersama Manchester City dan itulah perkara terbaik buat saya,” katanya yang mengumpul 13 trofi kejuaraan utama dengan City.
Walker memulakan empat perlawanan City dalam EPL musim ini, menjadi kapten beberapa kali apabila Guardiola meletakkan keyakinan terhadapnya.
Dia menyasarkan untuk meraih lebih banyak kejayaan musim ini.
“Musim kejuaraan treble satu daripada yang tidak akan saya lupakan dan kami sedia untuk terus mencuba memenangi lebih banyak trofi.
“Kami perlu memastikan kami ada di sana bersaing pada peringkat akhir semua pertandingan dan berjuang merebut kejuaraan,”katanya. – AGENSI