comscore
Tumpuan :
Sukan

Walau berstatus profesional, BAM sedia bantu pemulihan Qi Xuan

Pemain beregu wanita, Ng Qi Xuan (kiri) mengalami kecederaan ketika mata akhir menentang rakan senegara, Teoh Mei Xing-Go Pei Kee pada separuh akhir kejohanan Malaysia Super 100 di Stadium Juara, Bukit Kiara kelmarin. – Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sedia menawarkan rawatan pemulihan kepada pemain beregu wanita profesional negara Ng Qi Xuan, susulan kecederaan lutut yang dialaminya pada kejohanan Malaysia Super 100.

Setiausaha Agung BAM Datuk Kenny Goh berkata, sekalipun pemain berusia 25 tahun itu berstatus pemain profesional, dia tetap seorang pemain Malaysia dan pernah bernaung di bawah badan induk itu.

“Ya, kami sudah mengadakan perbincangan dalaman mengenai cara kami dapat membantunya. Kami sedia membantu jika dia ingin menjalani rawatan pemulihan, tetapi mungkin dia boleh melakukannya di ABM (Akademi Badminton Malaysia).

“Saya juga sudah berbincang dengan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh (dan beliau) juga menawarkan bantuan seberapa yang boleh,” katanya kepada pemberita selepas kejohanan Malaysia Super 100 di Stadium Juara, Bukit Kiara, semalam.

Ketika ditanya sama ada Qi Xuan perlu menjalani pembedahan, Kenny berkata beliau belum menerima sebarang pengesahan mengenai perkara itu tetapi memaklumkan Qi Xuan masih dirawat di hospital dan BAM merancang untuk menziarahinya dalam masa terdekat.

Qi Xuan dilaporkan mengalami kecederaan lutut ketika cuba melakukan smash menyebabkan dia dan pasangannya Yap Rui Chen terpaksa menarik diri ketika mereka hanya satu mata sahaja untuk meraih kemenangan.

Qi Xuan-Rui Chen sedang mendahului 22-20, 20-18 ke atas Teoh Mei Xing-Go Pei Kee dari BAM pada separuh akhir, kelmarin. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini