KUALA LUMPUR: Lembaran 2024 dibuka jaguh pelari menara negara, Soh Wai Ching dengan penuh bergaya apabila berjaya memecahkan rekod kejohanan Qingdao Vertical Marathon di China, hari ini.
Wai Ching memenangi kejohanan itu selepas menamatkan larian mendaki 2,121 anak tangga di menara setinggi 81 tingkat itu dengan rekod baharu iaitu 12 minit dan 17 saat.
Kejayaan itu menyaksikan Wai Ching melebur rekod dipegang pelari tempatan Shi Ai Ai dengan catatan masa 12:45 saat.
“Gembira apabila muncul sebagai juara keseluruhan tetapi paling gembira kerana dapat memperbaharui rekod kerana saya memang menyasarkannya.
“Terima kasih kepada semua yang memberikan sokongan. Saya akan mengekalkan semangat juang sebegini sepanjang 2024,” katanya di Facebook.