Tumpuan :
Sukan

Vivian raih tepukan gemuruh penonton, akhiri karier antarabangsa

Beregu wanita profesional negara, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien ketika menentang pemain Cina, Liu Sheng Shu-Tan Ning pada kejohanan Badminton Petronas terbuka di Axiata Arena. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Bukan pengakhiran karier yang diharapkan pemain beregu wanita profesional, Vivian Hoo selepas tewas di pusingan kedua Terbuka Malaysia, hari ini.

Vivian bersama pasangannya Lim Chiew Sin terpaksa akur apabila tewas di tangan juara bertahan yang juga pemenang pingat perak Sukan Olimpik Paris dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning 6-21, 5-21 pada aksi di Axiata Arena.

Terbuka Malaysia adalah kejohanan terakhir buat Vivian yang sebelum ini mengumumkan dia akan menggantung raket sebaik tugasannya selesai dalam kejohanan di laman sendiri itu.

Meskipun tewas namun Vivian yang berusia 35 tahun mendapat tepukan gemuruh daripada penonton yang hadir sebagai tanda penghargaan buat dirinya sepanjang lebih sedekad bergelar pemain badminton negara.

Malah, dia turut dihadiahkan sejambak bunga daripada peminat tempatan.

Menurut Vivian, dia selepas ini merancang untuk membuka akademi badminton di Balakong, Selangor bagi mencungkil bakat-bakat baharu.

“Saya harap boleh lahirkan pemain yang baik terutama pemain wanita sebab dari dulu Malaysia kurang pemain wanita. Ini adalah hasrat saya selepas bersara ini,” katanya.

Ketika bersama skuad kebangsaan, Vivian meraih pelbagai kejayaan termasuk memenangi tiga pingat emas Sukan Komanwel.

Pada edisi 2014 di Glasgow, dia meraih emas beregu wanita bersama Woon Khe Wei selain membantu Malaysia muncul juara berpasukan campuran manakala empat tahun kemudian di Gold Coast, dia memenangi emas beregu wanita bersama Chow Mei Kuan dan perak berpasukan campuran.

Dia juga meraih gangsa di Sukan Asia 2014 di Incheon dan perak di Kejohanan Asia 2010 bersama Khe Wei.

Vivian meninggalkan skuad kebangsaan pada 2020 bagi bergerak secara profesional.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini