Tumpuan :
Sukan

Vietnam, Thailand terikat 2-2 aksi final pertama

Pemain Vietnam, Bui Tien Dung cuba mendapatkan bola pada aksi pertama final Piala AFF 2023 menentang Thailand di Stadium My Dinh, Hanoi, sebentar tadi. Foto: AP

KUALA LUMPUR: Kekebalan pertahanan Vietnam pada saingan Piala AFF 2022 akhirnya roboh apabila terikat 2-2 dengan juara bertahan, Thailand dalam aksi final pertama di Stadium My Dinh, Hanoi, sebentar tadi.

Skuad Golden Star Warriors berada di depan pada minit ke-24 selepas penyerang berbisa, Nguyen Tien Linh menanduk masuk bola hantaran Que Ngoc Hai.

Thailand bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan selepas tiga minit bersambung babak kedua menerusi rembatan Poramet Arjvirai, sekali gus menyaksikan gawang Vietnam bolos buat kali pertama sepanjang Piala AFF 2022.

Jaringan itu membangkitkan semangat skuad Gajah Perang untuk mencari gol kedua dan usaha mereka berhasil pada minit ke-63 apabila umpanan kapten, Theerathon Bunmathan disudahkan dengan rembatan deras Sarach Yooyen.

Vu Van Thanh bagaimanapun muncul penyelamat Vietnam apabila meledak gol penyamaan pada minit ke-88, untuk melebarkan rekod tanpa kalah pasukannya pada kejohanan Piala AFF kali ini.

Kedudukan 2-2 kekal hingga wisel penamat, namun anak buah Alexandre Polking membawa bekalan jaringan tempat lawan menjelang aksi final kedua di Bangkok, Isnin ini.

Untuk rekod, Thailand pasukan paling banyak menjuarai Piala AFF iaitu sebanyak enam kali manakala Vietnam pula muncul juara dua kali pada 2008 dan 2018.

Loading...
Terkini