Oleh: Saiyed Ismail Saiyed Hussin
BANGKOK: Status jaguh serantau edisi kali ini kembali menjadi milik Vietnam selepas mengecewakan Thailand di perlawanan akhir kedua Piala AFF ASEAN.
Berbekal kemenangan 2-1 dalam pertembungan pertama di tempat sendiri di Viet Tri Stadium, anak buah Kim Sang Sik itu kemudian merentap barisan Gajah Perang di gelanggang lawan dengan catatan 3-2 sekaligus muncul juara menerusi agregat 5-3.
Pham Tuan Hai meletakkan pelawat dihadapan menerusi jaringan pembukaan minit (m) ke lapan, namun Ben Davis menjaringkan gol penyamaan m-28.
Drama terus sarat disaksikan selepas rehat apabila Supachok Sarachat memastikan tuan rumah di hadapan mendahului 2-1 hasil gol m-64 sekaligus menyamakan agregat 3-3.
Namun nasib barisan bimbingan Masatada Ishii itu mula berubah gara-gara Weerathep Pomphan yang dibuang padang kerana mengutip kad kuning kedua m-74.
Kekurangan seorang pemain Thailand dimanfaatkan skuad Naga Emas yang kembali mendapatkan gol menerusi tampanan Pansa Hemviboon ke gawang sendiri m-82.
Ketika masa tambahan kecederaan memasuki m-120, pemain gantian Nguyen Hai Long meranapkan impian puluhan ribu penyokong mengejar kejayaan hatrik di Stadium Rajamangala dengan jaringan kemenangan mutlak pasukan.
Julangan trofi edisi 2024 itu membolehkan Vietnam mengumpul koleksi kejuaraan ketiga selepas 2008 dan 2018.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.