KUALA LUMPUR: Jaringan pemain kebangsaan Faisal Halim, ketika menentang Korea Selatan dalam aksi Kumpulan E Kempen Bola Sepak Piala Asia di Doha Januari lalu sah diangkat sebagai jaringan terbaik kejohanan.
Faisal meraih undian tertinggi jauh meninggalkan tujuh pesaing lain, seperti yang diumum Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) hari ini.
Undian bagi gol terbaik Piala Asia 2023 di laman AFC bermula dari 21 sehingga 25 Februari menyaksikan Faisal meraih undian tertinggi berbanding tujuh pesaing lain iaitu dengan 85 peratus.
Presenting our fan voted #AsianCup2023 Goal of the Tournament!🥇@continentaltire | #ContiGoals pic.twitter.com/OXD5NkkOfP
— #AsianCup2023 (@afcasiancup) February 26, 2024
Ia diikuti pemain Jordan, Mousa Al Tamari yang menerima 9 peratus undian, manakala tempat ketiga milik bintang Korea Selatan, Son Heung Min yang meraih 3 peratus.
Apa yang menarik, ketiga-tiga jaringan itu turut hadir daripada pasukan yang beraksi dalam kumpulan E.
Gol yang disumbangkan Faisal itu menjadi pilihan penyokong untuk diiktiraf gol terbaik kejohanan selepas pemain berusia 26 tahun itu bijak memperdaya pertahanan dan penjaga gol Korea Selatan untuk gol penyamaan Harimau Malaya pada minit ke-51.
Jaringan itu menjadi pencetus kepada Harimau Malaya untuk melakar kebangkitan dramatik mengikat Korea Selatan 3-3 pada aksi terakhir kumpulan di Stadium Al Janoub.
Selepas berakhir perlawanan itu juga, AFC turut melabel gol Faisal itu sebagai satu keajaiban yang berlaku di pentas Piala Asia.
Untuk rekod, sebanyak 132 gol dijaringkan dalam 51 perlawanan di Piala Asia 2023 edisi ke-18 kali ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.