PETALING JAYA: Bukan sahaja peminat Selangor FC, malah penyokong bola sepak kebangsaan juga teruja dan tertanya-tanya adakah Faisal Halim akan kembali ke padang membantu Selangor FC menentang Terengganu FC (TFC) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam ini?
Itulah yang menimbulkan persoalan selepas Selangor FC memuat naik video pendek di facebook rasmi mereka dengan menunjukkan Faisal sudah berlatih bersama rakan sepasukan yang lain dan meraikan jaringan dalam keadaan begitu bersemangat.
Lebih menimbulkan tanda tanya apabila Selangor FC turut menulis ringkas, “Teka siapa yang kembali?”.
Meskipun itu hanya video pendek dan dikaburkan, tetapi dari segi larian dan gaya, melihat pemain lincah Harimau Malaya itu tampak sudah cergas dan bersedia untuk turun beraksi dalam perlawanan penting malam ini.
Ruangan komen pula rata-rata memuji ketabahan Faisal untuk kembali beraksi.
Bagi mereka Faisal memiliki semangat kental selepas lebih tiga bulan terpaksa menjalani proses rawatan.
Red Giants pula memang memerlukan kemenangan selepas tewas 2-3 di tangan TFC pada aksi pertama separuh akhir Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak 19 Julai lalu.
Selepas menjadi mangsa simbahan asid oleh individu tidak dikenali pada awal Mei lalu hingga menyebabkan dia mengalami kelecuran tahap empat, Faisal masih belum beraksi secara rasmi dalam saingan Liga Malaysia.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.