Tumpuan :
Sukan

[VIDEO] Akmal ‘dilamar’ pasukan ternama MotoGP


Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan

SEPANG: Minat sejak kecil dalam industri permotoran mendorong pemuda Muhammad Akmal Mohd Johari untuk terus berusaha gigih bagi menempatkan diri ke peringkat antarabangsa.

Kini, impiannya menjadi kenyataan apabila beliau bakal ‘beraksi’ di pentas dunia dengan menyertai salah satu pasukan ternama dalam perlumbaan MotoGP musim ini, meskipun bertukar kerjaya sebagai mekanik.

Perjalanan anak muda berusia 25 tahun dalam dunia permotoran bermula selepas berjaya menyertai saingan Cub Prix sebagai pelumba pada musim 2016.

Namun kariernya sebagai pelumba tidak panjang sebelum bertukar bidang sebagai seorang mekanik.

Lulusan program Penyenggaraan Motosikal Berkuasa Tinggi dari Kolej Komuniti Bagan Datuk ini berkata, pengalamannya sebagai seorang pelumba sedikit sebanyak membantu kariernya sebagai mekanik.

“Selepas tahun 2017, saya tengok sebagai seorang pelumba saya agak kurang berjaya, agak struggle (bergelut). Jadi saya fokus beralih bidang kepada mekanik.

“Dekat situ saya sambung belajar untuk lebih mengenai bab-bab motosikal berkuasa tinggi ini,” katanya.

Bermula dengan pasukan Honda Asia Dream Racing Team (HADR) di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC), kelebihan dan kepakarannya mula dihidu pasukan-pasukan besar.

Kini, Akmal bakal membawa nama negara bersama pasukan LCR Honda dengan menggalas tugas mengendalikan jentera pelumba Thailand, Somkiat Chantra bagi kempen MotoGP musim ini.

“Orang dari SRC sendiri yang tengok saya punya performance dan dari situ mereka tarik saya untuk bawa ke MotoGP.

“Perasaan saya memang teruja, dan dalam masa sama tak terfikir untuk saya sampai ke tahap ini sebenarnya.

Menurut anak kelahiran Kajang, Selangor ini, dia sudah tidak sabar memulakan cabaran baharu dalam hidupnya selain mengharumkan nama keluarga dan negara.

“Bagi saya tiada yang pahit. Walaupun memang kena kerja keras, walaupun benda tu susah, tapi saya anggap manis untuk saya. Sebab pengalaman itu yang sangat bernilai buat saya,” ujarnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini